Jaringan Drogba, Lampard buat Everton gigit jari
LONDON: Chelsea memberi Guus Hiddink hadiah istimewa sebagai tanda perpisahan apabila jaringan kemenangan Frank Lampard membantu pasukan itu menewaskan Everton 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley, malam tadi.
Hiddink yang bertindak selaku pengurus sementara akan kembali mengemudi skuad kebangsaan Russia sepenuh masa Jun ini tetapi dia akan sentiasa dikenang di Stamford Bridge selepas memimpin Chelsea mendakap trofi pertama dalam tempoh dua tahun.
Lampard yang meledakkan gol penting bagi pasukan pada minit ke-72 berkata jaringan kemenangan olehnya adalah untuk ibu tersayang yang meninggal dunia, tahun lalu.
“Kami menunjukkan perwatakan baik dan menguasai perlawanan selepas babak pertama,” kata Lampard.
“Gol kemenangan ini juga menceritakan bagaimana ayah saya (Frank senior) menyambut jaringan yang hebat pernah dilakukannya dulu. Ibu saya akan menghargainya.”
Apapun, Everton melakukan permulaan sempurna apabila Louis Saha merembat masuk gol pertama ketika permainan hanya berusia 25 saat untuk merakamkan namanya dalam sejarah Piala FA selaku penjaring terpantas.
Namun, penyerang Ivory Coast, Didier Drogba tampil menanduk masuk pada minit ke-21 sebelum rembatan jarak jauh Lampard mengesahkan kemenangan kelima bagi kelabnya dalam kejohanan itu dan detik ceria buat Hiddink.
Ia juga malam indah buat pemain pertahanan Chelsea, Ashley Cole untuk muncul pemain pertama dalam tempoh lebih 100 tahun untuk memenangi lima pingat Piala FA.
Bagi Drogba ia harus menebus rasa kecewa tewas dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah kepada Barcelona.
“Saya amat gembira. Kami memerlukan untuk memenangi trofi musim ini dan kami percaya dapat melakukan. Hiddink mengubah wajah cabaran kami malam ini (malam tadi),” katanya.